Subscribe:

Thursday, May 31, 2012

Baju Melayu & Baju Kurung

Fitrah yang indah

Adakah bercouple salah? Saya akan kata, ya. Adakah ianya haram? Saya akan diam dahulu. Adakah bercinta itu salah? Saya kata TIDAK.

Kenapa kita nak salahkan cinta, sedangkan cinta adalah satu perasaan fitrah, yang saya yakin 100% daripada kita mestilah pernah merasai keindahan cinta, betul tak? Cinta kepada ibubapa, cinta kepada abang, kakak, adik dan anak-anak saudara, cinta kepada sahabat, cinta kepada guru, cinta kepada barang-barang milik kita, cinta kepada kucing kesayangan.

Jadi, cinta itu adalah sebuah perasaan fitrah yang cukup indah, jika diletakkan pada tempat yang betul, jika diberikan kepada orang yang tepat, dengan CARA YANG BENAR mengikut landasan Islam.

Pemilik cintaku setelah Allah dan Rasul

"Tahu dengan tepat tak semestinya faham dengan jelas" (Ustazah Fatimah Syarha)

Kalau kita ditanya siapakah pemilik cinta kita yang utama? Saya sangat yakin bahawa setiap daripada kita pasti mampu untuk menjawab Allah. Dan siapakah pemilik cinta ini selepas Allah? Dan pastilah jawapan yang kedua adalah Rasulullah s.a.w.

Jadi, setiap daripada kita sebenarnya mempunyai pengetahuan yang sangat tepat tentang pemilik cinta yang utama. Tapi yang menjadi persoalannya, adakah kita benar-benar faham dengan jelas tentang hakikat ini?

Buktikan cinta padaNya

Di mulut, kita kata cinta yang utama adalah Allah. Tapi realitinya yang sentiasa dalam fikiran kita, adakah benar ianya milik Allah?

Dalam sehari, berapa kali kita ingat Allah? Biar saya bagi jawapan- minimun 5 kali, 5 kali waktu solat. Itu masa yang kita peruntukkan untuk ingat pada Allah (Itupun kalau kita solat setiap waktu).

Dan dalam 5 kali tu, berapa minit kita ingat Allah? Saya bagi minimun waktu solat 1 kali 5 minit, 5 kali solat, 25 minit. Dibandingkan dengan masa sehari: 1440 min. Tolak waktu tidur, saya ambik 5 jam: Tinggal 1140 minit. Tolak dengan waktu solat, tinggallah 1115minit ~+/- 18 jam. Agak-agak 18 jam ni kita peruntukkan untuk apa ye? Study? Kerja? Sembang-sembang? Makan-makan? Atau teringatkan seseorang? (Itupun kalau solat kita betul-betul khusyuk. Kalau nak tolak lagi dengan minit-minit yang tak khusyuk, agak-agak berapa minit je yang tinggal untuk kita ingat Allah?)

Tadi kita kata cinta kita yang pertama adalah Allah. Takkan lah orang bercinta kejap je ingat pada kekasih dia? Mustahil.... Orang bercinta kan biasanya hanyut dengan angan-angan, tak sabar setiap kali nak berdating, asyik nak bercakap dengan dia, berjumpa dengan dia, sebut nama dia pun dah cukup buatkan pipi blushing. Wah! Bercinta sakan! Paling best bila dapat hadiah daripada si dia. Hati berbunga-bunga dengan senyum yang tak boleh hilang.

Kitakan kata pemilik cinta kita yang utama adalah Allah? Dah tepat dah. Tapi, kita betul-betul faham dengan jelas ke? Kefahaman biasanya akan disalurkan kepada perbuatan.

"Betul, cinta utama saya memang pada Allah. Tapi, kita kan tak boleh nampak Allah. Jadi, macam mana dikatakan nak dating dengan Allah?"

Solat. Tak terasa ke masa solat adalah waktu kita dating dengan Allah. Hanya kita dan Dia. Walaupun solat berjemaah sekalipun, masa kita solat, ada kita borak dengan orang sebelah? Pastilah tak, kan? Hanya kita dan Dia. Masa kita solat, orang sebelah boleh dengar ke apa yang kita cakapkan? (selain apa yang imam baca) Mestilah tak, kan. Jadi, siapa yang tahu? Hanya kita dan Dia. Masa kita solat, adakah kita nak ambil kisah apa yang sedang berlaku kat sekeliling kita? Orang lalu lalang, orang tengah berborak, bunyi macam-macam. Adakah kita nak berhenti solat nak ambil tahu tentang hal-hal ni? Mestilah tak sama sekali!

Sebab apa? Sebab kita sebenarnya sedang dating dengan Allah. Hanya kita dan Dia. Kalau dating dengan lelaki yang tak halal bagi kita, kita tak dapat pun nak dating se"sweet" kita dating dengan Allah. Kita duduk makan-makan, kawan-kawan nak join sama, tumpang sekaki. Paling tak best siap suruh belanja sekali. Kalau kita dating dengan lelaki yang tak halal bagi kita, nak cakap something yang sweet pun malu (yang tak bertempat) sebab nanti orang lain dengar. Kalau kita dating dengan lelaki yang tak halal, mesti sentiasa rasa serba tak kena. Kalau duduk kat mall, nanti kawan sekuliah nampak, rasa segan. Nanti kalau orang satu kampung tengok, takut bagitau kat mak ayah. Ini adalah sebuah perasaan yang tak secure.

Tapi, bila kita benar-benar faham sejelas-jelasnya tentang cinta kepada Allah, pasti hati cukup rindu nak berjumpa dengan Allah. Berangan-angan,"Ya Allah, satu hari nanti, tempatkanlah aku di syurga, moga aku dapat bertemu denganMu. Pemilik cintaku yang sebenar."

Bila kita cinta kepada Allah, kita tak sabar-sabar nak menunggu waktu dating. Dan waktu dating yang Allah wajibkan kita rasa tak cukup. Jadi kita nak tambah lagi dengan solat sunat. Kalau dah rindu yang teramat, kita nak jumpa Allah pada waktu istimewa, waktu di mana orang yang tak cukup cinta kepada Allah takkan ada di sekeliling kita. Satu waktu yang hanya pencinta-pencinta Allah yang tahu dengan tepat, dan faham dengan jelas sahaja yang ada. Waktu di sepertiga malam, waktu yang cukup tenang. Hanya kita dan Dia.

Dan cintanya kita pada Allah, sebut je nama Allah rasa perasaan berdebar-debar.

"Sesungguhnya orang yang beriman ialah mereka yang bila disebut nama Allah, gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya, bertambahlah iman mereka (kerananya), dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakkal." (Al-Anfal:2)

Dan terkadang pada saat-saat tertentu, bila mana kita sangat-sangat perlukan seseorang, kita sebut je nama Allah, sudah cukup untuk buatkan hati kita tenang. Inilah pemilik cinta kita yang sebenar.

"..Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenang" (Ar-Ra'd:28)

Dan yang paling syok, dengan Allah, kita boleh mintak APA-APA SAHAJA tanpa perlu kita memberi sesuatu untuk dapatkan sesuatu. Tapi yang lagi best, Allah adalah pemilik cinta yang paling memahami. Dia tak bagi semua yang kita minta. Bukan Allah kedekut. Tapi Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik buat kita. Yang mungkin terkadang kita memberontak sebab tak dapat apa yang kita nak. Dan mungkin terkadang kita rasa nak merajuk. Dan Allah akan pujuk. Dan Dia akan bagi apa yang kita minta pada WAKTU YANG TEPAT, ataupun terkadang Allah berikan sesuatu yang lain daripada apa yang kita minta tapi ITULAH SEBENARNYA YANG TERBAIK buat kita. Pasti hati kita berbunga-bunga mekar dengan kuntuman sakura di dalam hati yang ada taman tu. Pada masa itulah mungkin baru kita akan sedar, siapakah pemilik cinta kita yang sebenar. Pastilah Dia, hanya Dia, Yang Maha Mengetahui, Yang Maha Pengasih, Yang Maha Penyayang.

Lau Kaana Bainana

Selepas Allah, perasaan fitrah ni patut diberikan kepada siapa? Pasti mudah nak menjawab, Rasulullah s.a.w.

Tepat, tapi adakah dengan kefahaman yang jelas?

Kita kata cinta kita yang pertama adalah Allah. Solat 5 waktu, setel. Jadi, kita dah tunjukkan cinta kita kepada Allah. Tepat setiap waktu solat, tak pernah tinggal.

Jadi, macam mana pulak dengan cinta kepada junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w?

Kita jawab selawat. (Pasti ke setiap hari kita peruntukkan waktu untuk selawat kepada Nabi? Luar daripada waktu solat? Jom sama-sama check diri sendiri).

Cukup ke perasaan cinta kita macam tu je? Rasulullah pemilik cinta kita yang kedua. Sedangkan cintanya Rasulullah pada kita, di saat hampir tiba kewafatan baginda, baginda teringat pada kita, "Ya ummati, ya ummati.." Tapi kalau kita? Mesti kita sebut, "Sakitnya, sakitnya!!"

Jadi, macam mana nak tunjukkan cintanya kita pada Rasulullah. Adakah selawat tu dah cukup?

Kalau cinta, perlu ada bukti! Sedangkan kalau bercinta dengan lelaki yang tak halal, kita sanggup buktikan cinta kita pada dia. Sanggup habiskan duit untuk keluar jumpa dia. Sanggup belikan hadiah birthday dia yang kadang-kadang dia tak belikan apa-apa pun untuk kita sebab nature lelaki yang kadang-kadang tak ambil kisah. Begitu juga dengan perempuan. Cintanya kita pada seorang lelaki yang tak halal sehingga rela untuk tangan yang suci ini dipegang, diri yang bersih ini disentuh, sedangkan hakikat sebenar bila dia pegang sahaja tangan kita, bila dia berani menyentuh kita bermakna dia menghina maruah dan harga diri seorang muslimah! Dia tak pelihara kehormatan kita sebagai seorang wanita muslim yang sepatutnya secantik mawar berduri, melainkan dia menjadikan kita seperti gula-gula yang tiada pembalut. Yang jika tiba masanya akan jatuh ke lantai dan menjadi kotor. Dan selepas tu, adakah akan datang lelaki yang sanggup nak mengambil gula-gula yang dah dipenuhi kotoran tanah? Ini adalah bukti cinta kita pada dia. Dan dia? Lari mencari gula-gula yang baru.

Di kisahkan pada suatu hari ketika Rasulullah saw bersama-sama sahabatnya seraya baginda bertanya kepada mereka :

"Siapakah yang paling hebat imannya?" tanya Rasulullah.

"Malaikat," jawab sahabat.

"Bagaimana para malaikat tidak beriman kepada Allah sedangkan mereka sentiasa hampir dengan Allah," jelas Rasulullah. Para sahabat terdiam seketika.

Kemudian mereka berkata lagi, "Para nabi"."Bagaimana para nabi tidak beriman, sedangkan wahyu diturunkan kepada mereka".

"Mungkin kami," celah seorang sahabat.

"Bagaimana kamu tidak beriman sedangkan aku berada ditengah-tengah kamu," pintas Rasulullah menyangkal hujah sahabatnya itu.

"Jika begitu, hanya Allah dan Rasul-Nya sahaja yang lebih mengetahui," jawab seorang sahabat lagi, mengakui kelemahan mereka.

"Kamu ingin tahu siapa mereka? Mereka ialah umatku yang hidup selepasku. Mereka membaca Al Quran dan beriman dengan semua isinya. Berbahagialah orang yang dapat berjumpa dan beriman denganku. Dan tujuh kali lebih berbahagia orang yang beriman denganku tetapi tidak pernah berjumpa denganku," jelas Rasulullah.

Suasana di majlis pertemuan itu hening sejenak. Semua yang hadir diam membatu. Mereka seperti sedang memikirkan sesuatu. Lebih-lebih lagi Saidina Abu Bakar. Itulah pertama kali dia mendengar orang yang sangat dikasihi melafazkan pengakuan demikian. Seulas senyuman yang sedia terukir dibibirnya pun terungkai. Wajahnya yang tenang berubah warna. "Apakah maksudmu berkata demikian wahai Rasulullah? Bukankah kami ini saudara-saudaramu?" Saidina Abu Bakar bertanya melepaskan gumpalan teka-teki yang mula menyerabut fikiran.

"Tidak, wahai Abu Bakar. Kamu semua adalah sahabat-sahabatku tetapi bukan saudara-saudaraku," suara Rasulullah bernada rendah.

"Kami juga saudara-saudaramu, wahai Rasulullah," kata seorang sahabat yang lain pula.

Rasulullah menggeleng-gelengkan kepalanya perlahan-lahan sambil tersenyum. Kemudian baginda bersuara, "Saudaraku ialah mereka yang belum pernah melihatku tetapi mereka beriman denganku sebagai Rasulullah dan mereka sangat mencintaiku. Malahan kecintaan mereka kepadaku melebihi cinta mereka kepada anak-anak dan orang tua mereka."

"Aku sungguh rindu hendak bertemu dengan mereka," ucap Rasulullah lagi setelah seketika membisu dengan berbaur kesayuan pada ucapannya itu.

Rindunya Rasulullah pada kita... Dan kita?

Lau kaana bainana.. Jika baginda berada di antara kita. Sedang menaip sms kepada lelaki yang tak halal bagi kita, kalau baginda berada di antara kita, sanggup tak kita tunjukkan sms yang sedang kita taip tu pada baginda s.a.w? Sedang kita bergayut di telefon dengan lelaki yang tak halal bagi kita, sanggup tak kita teruskan perbualan seandainya baginda berada bersama kita? Sedang kita buka facebook, tengok gambar-gambar lelaki yang tak halal bagi kita, bersedia ke kita untuk tak tutup apa yang sedang kita buat tu jika baginda berada disisi kita?

Lau kaana bainana, baginda adalah murabbi terbaik, pendidik terbaik. Cintanya kita pada baginda s.a.w, biarlah sehingga setiap apa yang kita lakukan, kita mampu tetap teruskan walaupun ketika sekiranya baginda berada di antara kita.

Biarlah mampu kita juga berkata kembali kepada Rasulullah,

"Ya Rasulullah pemilik cintaku selepas Allah, aku sungguh rindu hendak bertemu denganmu." Moga kitalah di antara umatnya yang mendapat syafaat baginda di akhirat kelak. Amin!

Cinta ini adalah lubuk pahala

Dan tibalah saatnya untuk kita berikan cinta ini kepada pemilik yang seterusnya. Hanya kepada si dia, yang halal.

Bila baju melayu bertemu baju kurung. Hati bergetar. Terasa perasaan yang berlainan. Adakah itu cinta, mungkin ya. Jadi, adakah ia salah?

Betul atau salah bergantung kepada apa yang kita lakukan selepas itu. Jika kita memilih mendekati kepada jalan yang salah, kita menghampiri kepada cinta yang salah. Dan bermulalah proses penghasilan lubuk-lubuk dosa kita. Lubuk dosa yang penuh dengan angan-angan, lubuk dosa yang penuh dengan tangisan merajuk, lubuk dosa yang penuh pembaziran wang ringgit dan waktu, lubuk dosa yang penuh dengan syakwasangka kepada si dia yang mungkin curang, lubuk dosa dengan pergaduhan, lubuk dosa dengan ungkapan sayang yang bersifat luaran, lubuk dosa dengan berbangga dengan gambar-gambar berdua-duaan, yang mendekatkan diri kepada zina mata, zina hati. Dan terlebih bimbang jika pengakhirannya akan membawa penyesalan kepada diri- sendiri.

Tapi jika kita memilih menyalurkannya kepada jalan yang betul, ini akan menjadi sebuah cinta yang halal, cinta yang mampu menjadi lubuk pahala bagi kita. Lubuk pahala yang mampu memberikan ganjaran berlipat-lipat ganda.

Jika sudah bersedia, pilihlah untuk berkahwin. Tetapi bukan dengan cara bercinta sebelum berkahwin dengan lelaki yang tidak halal bagi kita. Ada cara-cara tertentu, antaranya melalui orang tengah yang kita thiqah padanya, atau ibubapa. Kita terjaga, maruah kita terjaga, dan keberkatanNya ada. Kita ingin membina sebuah rumahtangga yang barakah, bercinta hingga ke syurga. Macam mana nak bercinta hingga ke syurga apabila sebuah rumah tangga dimulai dengan perkara-perkara yang tidak diredhai Allah?

Cinta fitrah ini yang berakhir dengan sebuah perjanjian kuat yang indah, menjadi sebuah pelengkap agama. Dan seterusnya, lubuk pahala ini akan terus terisi dengan menjadikan diri sebagai seorang isteri solehah yang terbaik buat si dia yang halal, pemilik cinta kita selepas Allah dan RasulNya.

Bagi yang sedang bercinta dengan seorang lelaki yang belum halal bagimu, jika belum bersedia untuk berkahwin dalam masa yang terdekat, kuatkanlah diri, pilihlah untuk mengakhiri percintaan yang salah. Takut? Percayalah, Allah akan beri kekuatan. Jika benar si dia yang masih belum halal adalah untukmu, Allah akan hadirkan dia kembali buat dirimu. Janji yang Allah tak pernah mungkiri bahawa setiap makhluknya diciptakan berpasang-pasangan. Dan pasti ada pasangan yang tertulis namanya di Lauh Mahfuz untukmu. Dan bila kita meninggalkan sesuatu kerana Allah, Allah akan gantikan dengan sesuatu yang pasti lebih baik untuk kita. Kita mesti benar-benar percaya kerana Allah adalah pemilik cinta kita yang utama, yang takkan sesekali menipu hambaNya. Keyakinan dan keimanan ini adalah bukti cinta kita kepada pemilik cinta kita yang pertama iaitu Allah.

Cinta ini adalah lubuk pahala. Jika belum bersedia, atau belum mampu, atau belum tiba masanya, tetapi perasaan fitrah itu sudah ada, inilah yang akan menjadi lubuk pahala bagi kita. Bermujahadahlah. Tambahlah istighfar kepadaNya, berpuasalah untuk menjaga sebuah fitrah yang indah ini, dan teruslah berdoa. "Prayer is the best armor against all trials".

Dan dalam masa menanti seorang yang soleh hadir, kita bukan hanya perlu mencari, tetapi perlulah menjadi. Berusaha menjadi seorang wanita yang solehah, dan cuba memperbaiki kekurangan diri semampu yang mungkin.

Bila baju melayu bertemu baju kurung, biarlah hanya untuk yang halal.

Wednesday, May 30, 2012

4 LELAKI YANG DITARIK KE NERAKA

Pertama: Ayahnya

Apabila seseorang yang bergelar ayah tidak memperdulikan anak-anak perempuannya di dunia. Dia tidak memberikan segala keperluan agama seperti mengajar solat, mengaji dan sebagainya. Dia membiarkan anak-anak perempuannya tidak menutup aurat.. tidak cukup kalau dengan hanya memberi kemewahan dunia sahaja maka dia akan ditarik oleh anaknya.

Kedua: Suaminya

Apabila seorang suami tidak memperdulikan tindak tanduk isterinya. Bergaul bebas di pejabat, memperhiaskan diri bukan untuk suami tapi untuk pandangan kaum lelaki yang bukan mahram, apabila suami mendiam diri.. walaupun dia seorang alim (solat tidak tangguh, puasa tidak tinggal) maka dia akan ditarik oleh isterinya.

Ketiga: Abang-abangnya

Apabila ayahnya sudah tiada, tanggungjawab menjaga maruah wanita jatuh kepala abang-abangnya.. jikalau mereka hanya mementing keluarganya sahaja dan adik perempuannya dibiar melencong dari ajaran ISLAM.. tunggulah tarikan adiknya di akhirat.

Keempat: Anak Lelakinya

Apabila seorang anak tidak menasihati seorang ibu perihal kelakuan yang haram dari islam, maka anak itu akan disoal dan dipertangungjawabkan di akhirat kelak.. nantikan tarikan ibunya.

Maka kita lihat betapa hebatnya tarikan wanita bukan sahaja di dunia malah di akhirat pun tarikannya begitu hebat…maka kaum lelaki yang bergelar ayah / suami / abang atau anak harus memainkan peranan mereka yang sebenar tidak silap firman ALLAH S.W.T.:-

“Hai anak adam peliharakanlah diri kamu serta ahli kamu dari api neraka, di mana bahan pembakarnya ialah manusia dan batu-batu..”

Hai wanita, kasihankan ayah anda, suami anda, abang-abang anda serta anak-anak lelaki anda…kesiankanlah mereka dan diri kamu sendiri.. jalankan perintah ALLAH S.W.T. dengan bersungguh-sungguh dan dengan ikhlas..

Akhir kata, marilah kita berdoa agar kita semua terselamat dari ditarik dan tertarik.. oleh mana-mana pihak. Harga seseorang muslim adalah sangat berharga. ALLAH S.W.T. nilaikan seseorang muslim dengan SYURGA.. semua kaum muslim masuk syurga.. janganlah kita membuang atau tidak mengendah janji ALLAH S.W.T.

Sumber: http://www.hanan.com.my

Kenangan Diner Faculty 2012


Menang cabutan bertuah dengan nombor 263, dan disampaikan oleh Dr. Habibullah, Ketua Jabatan saya...

...BERKATALAH BENAR MESKIPUN IA PAHIT...

Hakikatnya ramai yang suka sembunyikan kebenaran, apatah lagi ada yang bersikap memilih kebenaran yang tidak menggugat kehidupan dirinya, seperti rezeki(periuk nasinya), pengaruh(pandangan manusia) dan sebagainya..

Walhal kebenaran itu tetap suatu kebenaran yang semestinya memerlukan pengorbanan dari pendokongnya untuk menyatakannya kepada seluruh ins...an.

Tegakkanlah kebenaran, dan usah bimbang tentang rezeki, pandangan manusia dan sebagainya kerana semua itu pada kekuasaan Allah Ta'ala, bukannya manusia yang masih juga berharap kepadaNya.. Disebalik kepayahan dan kesulitan kerana menegakkan kebenaran, pasti suatu masa akan digantikan olehNya dengan suatu keindahan dan kesenangan yang tidak disangka-sangka.

Yakinlah pada ALLAH TA'ALA, bukannya pada kudrat lemah manusia.

Tuesday, May 29, 2012

KEMATIAN TAKKAN MEMBUNGKUS DOSA DOSA KITA

Sungguh banyak sekali diantara kita yang terlena.

Merasa kehidupan kita ini akan selama-lamanya.

Kita tak menyadari bahwa detik demi detik yang berlalu itu, sebenarnya sedang menghampiri hingga saat kepergiaan kita dari dunia.

Pergi yang tak mungkin akan kembali lagi disini.

Kita akan tinggalkan seluruh cinta kita yang tercurah dibumi.

Itulah hakikatnya kehidupan sementara ini.

Namun, berapa banyak yang membuka mata dari lenanya.

Hidup seolah tak akan bertemu dengan kematian.

Menabur cinta pada duniawi yang akan lenyap tiada abadi.

Jangan mengira bahwa kematian akan membungkus segala-galanya bersama jasad yang tertanam dalam tanah.

Tapi sebaliknya, kematianlah yang akan membongkar segala-galanya.

Tanggunglah segala apa yang kita perbuat selama ini.

Gambaran-gambaran tentang hari pembalasan sudah seringkali kita dengar tapi lumrahnya manusia.

Tersadar tapi akhirnya lupa.

Wahai orang yang sedang bersenang senang dengan dunia siap atau tidak siap.

Kematian bisa saja mengancam sesaat lagi...

Tidakkah kau mengetahui bahwa kau akan segera meninggalkan duniamu..dan duniamu pula akan meninggalkanmu..?

Bersegeralah mulai untuk Perubahan diri dari sifat dan watak syaitani dan hewani..menjadi insan Islami..

Berubahlah dari kefasikan dan kekafiran menjadi keimanan..
Berubahlah dari kemunafikan menjadi istiqomah..
Berubahlah dari keraguan menjadi keyakinan..
Berubahlah dari kesombongan menjadi ketawadhu’an..
Berubahlah dari rakus menjadi rasa syukur dan sederhana..
Berubahlah dari pemarah dan pendendam menjadi kasih sayang dan memaafkan.. Berubahlah dari kelicikan dan kesewenangan menjadi kejujuran dan keadilan,..
Berubahlah dari kedustaan menjadi kebenaran..

Apakah kita lupa atau berpura-pura lupa dengan perjalanan panjang tersebut.. bahkan malah memilih dunia dengan segala perangkatnya..
Kemewahan..kecantikan..kekayaan..kedudukan yang semua nilainya disisi Allah Subhanahu Wa Ta'ala tak lebih dari sehelai sayap nyamuk..!

- Wahai yang tertipu oleh dunia..!!

Kerjakanlah apa yang telah diperintahkan-Nya..dan sekuat-kuatnya untuk menjauhi larangan-Nya...

- Wahai yang selalu berangan-angan panjang..!!

Berusahalah untuk memelihara ketundukan..tawadhu’ dan syukur atas nikmat-Nya yang akan mengajakmu menuju pintu ketenangan dan kebahagiaan...

- Wahai yang sedang lengah dari ketaatan kepada Rabb-nya..!!

Berhiaslah dengan amal shaleh dan keindahan akhlaqul karimah...

- Wahai yang sedang berpaling dari Allah Subhanahu Wa Ta'ala…!!

Semuanya akan mempertanggung jawabkan amalannya sendiri-sendiri..maka beramal-lah..!

- Wahai yang nafsunya selalu menolak nasehat..

Renungkanlah sesaat.. Sadarkan pikiran yang masih berfungsi ini untuk segera melakukan perubahan..Karena inilah waktu bagi kita untuk berubah sebelum menjadi mayat..

10 GOLONGAN MANUSIA YANG DI USIR DARI PADANG MAHSYAR


1. Mereka diusir berupa kera. Mereka adalah manusia yang suka mengadu domba.

2. Mereka diusir berupa babi. Mereka adalah manusia yang suka memakan barang yang haram.

3. Mereka dihalau dalam keadana terbalik kaki di atas dan kepala di bawah. Mereka adalah dari golongan yang suka berdusta.

4. Mereka dihalau dalam keadaan bisu dan pekak serta tidak berakal. Mereka adalah dari golongan yang riak bangga diri dan sombong.

5. Mereka dihalau dalam keadaan menguyah lidah sendiri sedang lidahnya itu
menjulur ke bawah sampai ke dadanya dan dari mulutnya keluar nanah yang
menjijikkan. Mereka adalah ahli pidato yang ucapannya berlainan dengan
perilakunya.

6. Mereka dihalau dalam keadaan tersalib di pohon kurma dari neraka. Mereka adalah manusia yang berusaha mengajak orang ramai untuk menyokong pemimpin yang tidak jujur.

7. Mereka dihalau dalam keadaan terpotong tangan dan kakinya. Mereka adalah
orang-orang yang mengganggu jiran-jiran.

8. mereka dihalau dalam keadaan buta. Mereka adalah dari golongan yang curang dalam menetapkan hukum.

9. Mereka dihalau dalam keadaan busuknya lebih busuk daripada bau bangkai.
Mereka adalah orang yang gemar melepaskan nafsu syahwat dan menolak perkara wajib seperti zakat, puasa, solat, ... tidak menjalankan kerja dakwah dan sebagainya.

10. Mereka dikumpulkan dalam keadaan memakai pakaian besi yang panas. Mereka ini adalah manusia yg syirik kepada Allah swt.

Thursday, May 24, 2012

Pendidikan percuma

Ibnu Khaldun ialah pemikir Islam bertaraf dunia sepanjang zaman. Beliau banyak membentangkan teori kemasyarakatan mendahului zamannya beberapa abad. Buku karangannya berjudul Muqaddimah yang bermaksud pendahuluan, diterjemahkan ke dalam bahasa-bahasa dunia di timur dan barat, walaupun ia adalah pendahuluan kepada buku sejarah karangannya. Akhirnya kitab Muqaddimah sahaja yang d...ikaji kerana analisa ilmu kemasyarakatan yang menarik sehingga Ibn Khaldun diberi gelaran bapa ilmu kemasyarakatan.

Ibn Khaldun mengulas berkenaan pelajaran dan pendidikan dalam bab yang khusus, melibatkan ilmu secara menyeluruh mengikut perspektif Islam yang berbeza dengan teori Barat yang berteras dan berkonsepkan sekularisme yang memisahkan agama dengan dunia.

Paling menarik Ibn Khaldun meletakkan ilmu dan pendidikan ke dalam aspek sina’ah (industri). Bermakna aktiviti ilmu bukan sahaja keperluan ruh dan akal yang menjadi sebahagian daripada kejadian manusia, bahkan kegiatannya yang betul dan saksama menghasilkan kemajuan dalam aspek yang lain termasuk aspek ekonomi yang menambahkan hasil negara.

Lapangan ilmu dan pendidikan adalah peranan pembangunan manusia dalam segala aspek kejadian mereka secara fitrah, dan perkembangan percambahan ilmu keperluan mereka yang dicipta selepasnya secara pengalaman dan kajian mengikut keperluan semasa, realiti dan situasi yang sentiasa berubah di sepanjang zaman.

Peranan ilmu dan pendidikan mengikut Islam adalah selaras dengan naluri manusia dan peranan mereka. Manusia adalah makhluk berunsurkan jasad, ruh dan akal, individu, keluarga dan wajib bermasyarakat madani, mampu mengendalikan urusan makhluk sekelilingnya. Maka manusia adalah makhluk yang layak mentadbir urusan bumi sekiranya berilmu dan pendidikan yang merangkumi aspek naluri mereka.

Ilmu dan pendidikan adalah agenda pembangunan manusia bagi memakmurkan dunia. Islam meletakkan ilmu dan pendidikan yang memenuhi kehidupan manusia tersebut dalam perkara wajib mengikut kedudukan ilmu itu. Semua bidangnya tidak terkeluar daripada fardu ain dan fardu kifayah.

Ilmu dan pendidikan bagi membina peribadi manusia supaya beriman dan budiman dimasukkan dalam fardu ain yang wajib bagi setiap individu, begitu juga alat dan kemudahan untuk menghasilkannya seperti mambaca, menulis dan alatnya serta pelajarannya secara sistematik mengikut zaman. Perkara ini termasuk dalam doruriyat kepada ruh dan akal, sama seperti keperluan makanan, pakaian dan tempat tinggal kepada jasad. Maka menjadi kewajipan kepada ibu bapa atau ketua keluarga atau penjaga dan kerajaan yang memerintah negara membantu kalangan yang tidak berkemampuan.

Ilmu dan pendidikan yang memberi kemudahan kepada masyarakat dalam segala aspeknya dimasukkan dalam fardu kifayah (wajib secara umum), menjadi fardu ain pula kepada mereka yang layak menunaikannya seperti para pemimpin kerajaan.

Dalam masa yang sama setiap anggota masyarakat digalakkan menunaikan kewajipan ini sehingga dimasukkan dalam amal kebajikan yang besar pahalanya dan fadilatnya berpanjangan walaupun pengamal dan penyumbangnya telah meninggal dunia. Sabda Rasulullah S.A.W: Maksudnya: Apabila matinya seseorang manusia, terputuslah amalannya melainkan tiga perkara iaitu sumbangan sedekah (harta ) yang berterusan kebaikannya, ilmu yang memberi manfaat dan anak yang baik sentiasa berdoa untuknya. (Riwayat Muslim)


Menunjukkan bahawa kewajipan pendidikan dan pelajaran dalam negara berkebajikan mengikut Islam menjadi tanggungjawab bersama yang tidak membebankan kerajaan sahaja, kerajaan dan masyarakat tidak boleh melarikan diri daripadanya.

Manusia yang dibangunkan insannya dengan sempurna menambahkan produktiviti negara, bukannya menjadi bebanan negara dengan gejala sosial seperti akhlak dan pengangguran. Apa yang berlaku hari ini adalah kesilapan dasar, konsep dan sistem yang memerlukan satu huraian yang lain. Dalam ruangan ini perlu dijelaskan dengan tegas bahawa agenda pendidikan dan pelajaran percuma yang betul meningkatkan hasil negara bukannya menjadikannya bankrap.

Ilmu dan pendidikan peribadi yang betul, melahirkan manusia beriman, budiman dan berilmu sehingga beramal dengan ikhlas, tidak menyeleweng, rasuah dan menyalahgunakan kerja, jawatan, serta tidak merosakkan hasil negara. Ilmu dan pendidikan pengurusan, kemahiran dan sebagainya untuk masyarakat mendatangkan hasil yang maju dan meningkat. Islam meletakkan ilmu dan pendidikan bagi keperluan peribadi dan masyarakat tidak boleh dipisahkan di antara satu sama lain. Ilmu dan pendidikan fardu ain bagi membentuk diri manusia adalah asas yang wajib bagi setiap individu lelaki dan wanita. Kemudian ditingkatkan secara fardu kifayah (wajib secara umum) mengikut kemampuan di bidang masing-masing, sehingga tidak ada yang tercicir dalam masyarakat, termasuk yang gila dan cacat menjadi kewajipan keluarga dahulu, kemudiannya masyarakat dan kerajaan.

Kalangan para ulama yang mendalami perkembangan semasa, menjadikan sebahagian peruntukan zakat sumbangan kepada penuntut ilmu, kerana ia juga adalah medan perjuangan untuk meninggikan Islam dan umat. Kepada penganut Islam, zakat tetap wajib dibayar walaupun dibatalkan oleh kerajaan kerana sifat ibadatnya yang berbeza dengan cukai yang di arah oleh kerajaan kerana zakat adalah perintah Allah.

Dalam masyarakat Islam yang lebih lama tamadunnya didirikan institusi pendidikan percuma sehinggalah masuk ke zaman penjajah dan merdeka semula. Contohnya Universiti al-Azhar di Mesir, Deoband dan Aligarh di India, pengajiannya bukan sahaja jurusan Islam bahkan meluas ke bidang sains dalam segala aspeknya. Pelajarnya belajar percuma, universitinya hidup dengan harta wakaf dan zakat.

Ada juga kalangan negara Barat yang meniru tamadun awal Islam menganjurkan pendidikan percuma dengan mengenakan cukai daripada kalangan yang kaya raya tanpa membebankan kalangan miskin, walaupun negara itu tanpa mempunyai sumber bumi yang banyak tetapi pandai mengurusnya tanpa membebankan rakyat. Sedarlah kita betapa bumi yang berhasil daripada perutnya dan subur tanahnya. Mengapa tidak mampu dan takut apabila disebut pendidikan percuma. Sebabnya kerana hasil negara banyak masuk ke dalam perut para pemimpin dan konco-konconya.

Ibn Khaldun menegaskan lagi, bahawa pertambahan jumlah penduduk yang meningkat juga kalau diolah dengan baik boleh meningkatkan produktiviti bukannya pengangguran dan gejala sosial, sekiranya agenda pembangunan insan dilaksanakan mengikut acuan Allah.

Tuesday, May 22, 2012

Adab Bersin


Hadis:-

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah SWT sukakan bersin dan benci pada menguap. Jika salah seorang kamu bersin dan memuji Allah SWT, hendaklah orang Islam yang mendengarnya mengucapkan "Yarhamukallah" ... Sedangkan menguap itu adalah daripada syaitan. Maka jika seorang kamu menguap hendaklah ia mengembalikannya (menahannya) sedaya mungkin kerana apabila kamu menguap, syaitan akan ketawa melihatnya." (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Tasymit dan Tahmid; Dari Anas bin Malik r.a. katanya: "Dua orang lelaki bersin dekat Nabi SAW. Lalu yang satu ditasymitkan oleh Baginda SAW sedangkan yang satu lagi tidak. Maka bertanya orang yang tidak ditasymitkan itu, tetapi aku bersin tidak kamu tasymitkan. Mengapa begitu, ya Rasulullah?" Jawab Baginda SAW, "Yang ini sesudah bersin dia memuji Allah sedangkan kamu tidak berbuat demikian." (Sahih Muslim)


Huraian:-

Islam adalah agama yang paling mulia yang amat menekankan kesopanan dan kesantunan dari sekecil-kecil perkara hinggalah sebesar-besarnya sama ada dalam pergaulan, percakapan ataupun tingkah-laku refleks seperti menguap, bersin dan sebagainya.

Ketika menguap terdapat adabnya yang tersendiri iaitu hendaklah meletakkan tangan di mulut ketika menguap untuk menutup pandangan yang tidak elok ketika mulut terbuka dan juga untuk menghalang sesuatu daripada masuk ke dalam mulut. Selain itu kita disuruh mengurangkan bunyi ketika menguap, seboleh-bolehnya tidak kedengaran langsung.

Manakala apabila bersin pula kita hendaklah memalingkan muka ke arah lain (seeloknya sebelah kiri) sambil menutup mulut dan hidung untuk mengurangkan bunyi bersin tersebut selain untuk mengelak daripada terkena jangkitan pada orang lain. Selepas bersin hendaklah mengucapkan "alhamdulillah", sebagai rasa bersyukur dengan memuji Allah.

Dan orang yang mendengarnya hendaklah mengucapkan "yarhamukallah" sebagai mendoakan kesejahteraan orang yang bersin itu agar dia agar dirahmati Allah SWT. Serta dibalas pula oleh orang yang bersin dengan mengucapkan "Yahdiinaa wayahdiikumullah" . Namun begitu sekiranya orang yang bersin itu tidak mengucapkan 'al-hamdulillah' selepas bersin maka dia tidak berhak untuk diberikan ucapan tersebut.

Menjawab orang yang bersin (jika dia mengucapkan ‘alhamdulillah’) hukumnya wajib, dan wajib pula menjawab orang yang mengucapkan "Yarhamukallah" dengan ucapan "Yahdiina wayahdii kumullah", dan jika seseorang yang bersin itu terus menerus bersin lebih dari tiga kali, maka kali keempatnya hendaklah diucapkan "Afakallah" (Semoga Allah menyembuhkan anda) sebagai ganti dari ucapan "Yarhamukallah"; kerana kekerapan bersin itu menunjukkan seseorang itu kurang sihat.

Bersin yang terlalu kerap melebihi 3 kali menandakan seseorang itu kemungkinan diserang selsema/resdung manakala menguap yang terlampau kerap menandakan seseorang itu tidak cukup tidur selain menunjukkan ciri-ciri kemalasan yang patut dihindari dengan melakukan aktiviti senam ringan dan sebagainya.



Monday, May 21, 2012

Doa Bulan Rejab



Elakkan Berkata ”Kalau”

Hadith :

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:”Mukmin yang kuat lebih disukai oleh Allah daripada mukmin yang lemah. Namun pada kedua-duanya ada kebaikan. Berjaga-jagalah terhadap perkara yang boleh mendatangkan kebaikan kepada engkau, pintalah pertolongan daripada Allah. Sekiranya engkau ditimpa sesuatu musibah, maka jangan engkau berkata:”Sekiranya (kalau) aku lakukan begini maka sudah pasti lain yang berlaku. Tetapi katakanlah:”Itu merupakan takdir Allah dan Dia melakukan apa yang dikehendaki- Nya, sesungguhnya ‘kalau’ akan membukakan pintu amalan syaitan.” Riwayat Muslim

Huraian:

1. Kekuatan seseorang Muslim itu diukur bukan sahaja dari segi fizikal (tubuh badan) tetapi juga dinilai daripada aspek kekuatan iman. Bahkan itulah yang paling penting.

2. Orang yang sentiasa bewaspada terhadap nikmat kehidupan di dunia tidak akan mudah terjerumus dalam perangkap syaitan. Segala tindakan yang diambil mencerminkan ketaqwaannya kepada Allah dan dia sekali-kali tidak membiarkan kebaikan dan keburukan yang menimpanya sebagai suatu kegembiraan (kemenangan) dan kesedihan semata tetapi percaya bahawa semuanya itu mempunyai hikmah yang tersendiri daripada Allah untuk diambil pengajaran.

3. Ucapan ‘kalau’ tidak harus diamalkan kerana ia seolah-olah menunjukkan bahawa kita tidak redha dengan apa yang telah berlaku. Sebaliknya kita hendaklah sentiasa berfikiran positif dan ingat bahawa segala yang baik itu datangnya daripada Allah dan yang buruk itu adalah daripada kelemahan diri kita sendiri. Oleh sebab itu Islam menyuruh umatnya agar bertawakkal (berserah) kepada Allah SWT dalam melakukan sesuatu usaha dan percaya bahawa setiap sesuatu itu tidak akan berlaku tanpa keizinan daripada-Nya jua.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia