Dan yang paling syok, dengan Allah, kita boleh mintak APA-APA SAHAJA tanpa perlu kita memberi sesuatu untuk dapatkan sesuatu. Tapi yang lagi best, Allah adalah pemilik cinta yang paling memahami. Dia tak bagi semua yang kita minta. Bukan Allah kedekut. Tapi Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik buat kita. Yang mungkin terkadang kita memberontak sebab tak dapat apa yang kita nak. Dan mungkin terkadang kita rasa nak merajuk. Dan Allah akan pujuk. Dan Dia akan bagi apa yang kita minta pada WAKTU YANG TEPAT, ataupun terkadang Allah berikan sesuatu yang lain daripada apa yang kita minta tapi ITULAH SEBENARNYA YANG TERBAIK buat kita. Pasti hati kita berbunga-bunga mekar dengan kuntuman sakura di dalam hati yang ada taman tu. Pada masa itulah mungkin baru kita akan sedar, siapakah pemilik cinta kita yang sebenar. Pastilah Dia, hanya Dia, Yang Maha Mengetahui, Yang Maha Pengasih, Yang Maha Penyayang.
Lau Kaana Bainana

Selepas Allah, perasaan fitrah ni patut diberikan kepada siapa? Pasti mudah nak menjawab, Rasulullah s.a.w.
Tepat, tapi adakah dengan kefahaman yang jelas?
Kita kata cinta kita yang pertama adalah Allah. Solat 5 waktu, setel. Jadi, kita dah tunjukkan cinta kita kepada Allah. Tepat setiap waktu solat, tak pernah tinggal.
Jadi, macam mana pulak dengan cinta kepada junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w?
Kita jawab selawat. (Pasti ke setiap hari kita peruntukkan waktu untuk selawat kepada Nabi? Luar daripada waktu solat? Jom sama-sama check diri sendiri).
Cukup ke perasaan cinta kita macam tu je? Rasulullah pemilik cinta kita yang kedua. Sedangkan cintanya Rasulullah pada kita, di saat hampir tiba kewafatan baginda, baginda teringat pada kita, "Ya ummati, ya ummati.." Tapi kalau kita? Mesti kita sebut, "Sakitnya, sakitnya!!"
Jadi, macam mana nak tunjukkan cintanya kita pada Rasulullah. Adakah selawat tu dah cukup?
Kalau cinta, perlu ada bukti! Sedangkan kalau bercinta dengan lelaki yang tak halal, kita sanggup buktikan cinta kita pada dia. Sanggup habiskan duit untuk keluar jumpa dia. Sanggup belikan hadiah birthday dia yang kadang-kadang dia tak belikan apa-apa pun untuk kita sebab nature lelaki yang kadang-kadang tak ambil kisah. Begitu juga dengan perempuan. Cintanya kita pada seorang lelaki yang tak halal sehingga rela untuk tangan yang suci ini dipegang, diri yang bersih ini disentuh, sedangkan hakikat sebenar bila dia pegang sahaja tangan kita, bila dia berani menyentuh kita bermakna dia menghina maruah dan harga diri seorang muslimah! Dia tak pelihara kehormatan kita sebagai seorang wanita muslim yang sepatutnya secantik mawar berduri, melainkan dia menjadikan kita seperti gula-gula yang tiada pembalut. Yang jika tiba masanya akan jatuh ke lantai dan menjadi kotor. Dan selepas tu, adakah akan datang lelaki yang sanggup nak mengambil gula-gula yang dah dipenuhi kotoran tanah? Ini adalah bukti cinta kita pada dia. Dan dia? Lari mencari gula-gula yang baru.
Di kisahkan pada suatu hari ketika Rasulullah saw bersama-sama sahabatnya seraya baginda bertanya kepada mereka :
"Siapakah yang paling hebat imannya?" tanya Rasulullah.
"Malaikat," jawab sahabat.
"Bagaimana para malaikat tidak beriman kepada Allah sedangkan mereka sentiasa hampir dengan Allah," jelas Rasulullah. Para sahabat terdiam seketika.
Kemudian mereka berkata lagi, "Para nabi"."Bagaimana para nabi tidak beriman, sedangkan wahyu diturunkan kepada mereka".
"Mungkin kami," celah seorang sahabat.
"Bagaimana kamu tidak beriman sedangkan aku berada ditengah-tengah kamu," pintas Rasulullah menyangkal hujah sahabatnya itu.
"Jika begitu, hanya Allah dan Rasul-Nya sahaja yang lebih mengetahui," jawab seorang sahabat lagi, mengakui kelemahan mereka.
"Kamu ingin tahu siapa mereka? Mereka ialah umatku yang hidup selepasku. Mereka membaca Al Quran dan beriman dengan semua isinya. Berbahagialah orang yang dapat berjumpa dan beriman denganku. Dan tujuh kali lebih berbahagia orang yang beriman denganku tetapi tidak pernah berjumpa denganku," jelas Rasulullah.
Suasana di majlis pertemuan itu hening sejenak. Semua yang hadir diam membatu. Mereka seperti sedang memikirkan sesuatu. Lebih-lebih lagi Saidina Abu Bakar. Itulah pertama kali dia mendengar orang yang sangat dikasihi melafazkan pengakuan demikian. Seulas senyuman yang sedia terukir dibibirnya pun terungkai. Wajahnya yang tenang berubah warna. "Apakah maksudmu berkata demikian wahai Rasulullah? Bukankah kami ini saudara-saudaramu?" Saidina Abu Bakar bertanya melepaskan gumpalan teka-teki yang mula menyerabut fikiran.
"Tidak, wahai Abu Bakar. Kamu semua adalah sahabat-sahabatku tetapi bukan saudara-saudaraku," suara Rasulullah bernada rendah.
"Kami juga saudara-saudaramu, wahai Rasulullah," kata seorang sahabat yang lain pula.
Rasulullah menggeleng-gelengkan kepalanya perlahan-lahan sambil tersenyum. Kemudian baginda bersuara, "Saudaraku ialah mereka yang belum pernah melihatku tetapi mereka beriman denganku sebagai Rasulullah dan mereka sangat mencintaiku. Malahan kecintaan mereka kepadaku melebihi cinta mereka kepada anak-anak dan orang tua mereka."
"Aku sungguh rindu hendak bertemu dengan mereka," ucap Rasulullah lagi setelah seketika membisu dengan berbaur kesayuan pada ucapannya itu.
Rindunya Rasulullah pada kita... Dan kita?
Lau kaana bainana.. Jika baginda berada di antara kita. Sedang menaip sms kepada lelaki yang tak halal bagi kita, kalau baginda berada di antara kita, sanggup tak kita tunjukkan sms yang sedang kita taip tu pada baginda s.a.w? Sedang kita bergayut di telefon dengan lelaki yang tak halal bagi kita, sanggup tak kita teruskan perbualan seandainya baginda berada bersama kita? Sedang kita buka facebook, tengok gambar-gambar lelaki yang tak halal bagi kita, bersedia ke kita untuk tak tutup apa yang sedang kita buat tu jika baginda berada disisi kita?
Lau kaana bainana, baginda adalah murabbi terbaik, pendidik terbaik. Cintanya kita pada baginda s.a.w, biarlah sehingga setiap apa yang kita lakukan, kita mampu tetap teruskan walaupun ketika sekiranya baginda berada di antara kita.
Biarlah mampu kita juga berkata kembali kepada Rasulullah,
"Ya Rasulullah pemilik cintaku selepas Allah, aku sungguh rindu hendak bertemu denganmu." Moga kitalah di antara umatnya yang mendapat syafaat baginda di akhirat kelak. Amin!
Cinta ini adalah lubuk pahala
Dan tibalah saatnya untuk kita berikan cinta ini kepada pemilik yang seterusnya. Hanya kepada si dia, yang halal.
Bila baju melayu bertemu baju kurung. Hati bergetar. Terasa perasaan yang berlainan. Adakah itu cinta, mungkin ya. Jadi, adakah ia salah?
Betul atau salah bergantung kepada apa yang kita lakukan selepas itu. Jika kita memilih mendekati kepada jalan yang salah, kita menghampiri kepada cinta yang salah. Dan bermulalah proses penghasilan lubuk-lubuk dosa kita. Lubuk dosa yang penuh dengan angan-angan, lubuk dosa yang penuh dengan tangisan merajuk, lubuk dosa yang penuh pembaziran wang ringgit dan waktu, lubuk dosa yang penuh dengan syakwasangka kepada si dia yang mungkin curang, lubuk dosa dengan pergaduhan, lubuk dosa dengan ungkapan sayang yang bersifat luaran, lubuk dosa dengan berbangga dengan gambar-gambar berdua-duaan, yang mendekatkan diri kepada zina mata, zina hati. Dan terlebih bimbang jika pengakhirannya akan membawa penyesalan kepada diri- sendiri.
Tapi jika kita memilih menyalurkannya kepada jalan yang betul, ini akan menjadi sebuah cinta yang halal, cinta yang mampu menjadi lubuk pahala bagi kita. Lubuk pahala yang mampu memberikan ganjaran berlipat-lipat ganda.
Jika sudah bersedia, pilihlah untuk berkahwin. Tetapi bukan dengan cara bercinta sebelum berkahwin dengan lelaki yang tidak halal bagi kita. Ada cara-cara tertentu, antaranya melalui orang tengah yang kita thiqah padanya, atau ibubapa. Kita terjaga, maruah kita terjaga, dan keberkatanNya ada. Kita ingin membina sebuah rumahtangga yang barakah, bercinta hingga ke syurga. Macam mana nak bercinta hingga ke syurga apabila sebuah rumah tangga dimulai dengan perkara-perkara yang tidak diredhai Allah?
Cinta fitrah ini yang berakhir dengan sebuah perjanjian kuat yang indah, menjadi sebuah pelengkap agama. Dan seterusnya, lubuk pahala ini akan terus terisi dengan menjadikan diri sebagai seorang isteri solehah yang terbaik buat si dia yang halal, pemilik cinta kita selepas Allah dan RasulNya.
Bagi yang sedang bercinta dengan seorang lelaki yang belum halal bagimu, jika belum bersedia untuk berkahwin dalam masa yang terdekat, kuatkanlah diri, pilihlah untuk mengakhiri percintaan yang salah. Takut? Percayalah, Allah akan beri kekuatan. Jika benar si dia yang masih belum halal adalah untukmu, Allah akan hadirkan dia kembali buat dirimu. Janji yang Allah tak pernah mungkiri bahawa setiap makhluknya diciptakan berpasang-pasangan. Dan pasti ada pasangan yang tertulis namanya di Lauh Mahfuz untukmu. Dan bila kita meninggalkan sesuatu kerana Allah, Allah akan gantikan dengan sesuatu yang pasti lebih baik untuk kita. Kita mesti benar-benar percaya kerana Allah adalah pemilik cinta kita yang utama, yang takkan sesekali menipu hambaNya. Keyakinan dan keimanan ini adalah bukti cinta kita kepada pemilik cinta kita yang pertama iaitu Allah.
Cinta ini adalah lubuk pahala. Jika belum bersedia, atau belum mampu, atau belum tiba masanya, tetapi perasaan fitrah itu sudah ada, inilah yang akan menjadi lubuk pahala bagi kita. Bermujahadahlah. Tambahlah istighfar kepadaNya, berpuasalah untuk menjaga sebuah fitrah yang indah ini, dan teruslah berdoa. "Prayer is the best armor against all trials".
Dan dalam masa menanti seorang yang soleh hadir, kita bukan hanya perlu mencari, tetapi perlulah menjadi. Berusaha menjadi seorang wanita yang solehah, dan cuba memperbaiki kekurangan diri semampu yang mungkin.
Bila baju melayu bertemu baju kurung, biarlah hanya untuk yang halal.
