Subscribe:

Wednesday, March 7, 2012

Ucaptama Penyerahan Tugas Pengerusi JKM Kolej 10 Sesi 2011


بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين
والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين،  وعلى آله وصحبه أجمعين.

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Terima kasih saudara/i pengerusi Majlis.

Yang Berbahagia Prof. Madya Dr. Ab Latif Bin Ibrahim, Ayahanda Pengetua Kolej 9-10, Yang dihormati, Saudara Mohd Fadthul Ikmal bin Misnal, Pengerusi Jawatankuasa Kolej Mahasiswa, JKM K9-10, Saudari Nur Syazwani Binti Aznan, Mantan Pengerusi JKM perempuan sesi 2011, Barisan Majlis Felo Kolej 9-10, Barisan Majlis Tertinggi JKM K9-10, Barisan mantan Majlis Tertinggi, JKM Sesi 2011, Barisan Biro dan Exco JKM K9-10, Barisan Mantan Biro dan Exco JKM sesi 2011, rakan-rakan, sahabat taulan, serta muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah sekalian.

Sebelum hujah menyusul madah, sebelum kata menguntum bicara, marilah bersama-sama kita merafa’kan kesyukuran kehadrat ilahi atas limpah kurnia-Nya dan selawat serta salam buat junjungan besar Rasullullah S.A.W dan ahli keluarga baginda serta para sahabat, pengikut-pengikut sahabat dan tabiin kerana kita sama-sama dapat berkumpul pada hari yang bersejarah ini yang diadakan setahun sekali setelah terlantiknya jawatankuasa Kolej yang baru iaitu Malam Pengenalan JKM  yang mulia ini.

Ucapan tahniah kepada saudara pengerusi yang telah dilantik oleh Majlis Syura yang mana, Majlis Syura ini terdiri daripada Barisan Majlis Felo Kolej 9-10 serta beberapa orang mahasiswa iaitu mantan JKM sesi lepas. 

Majlis ini dipimpin oleh ayahanda pengetua, Prof. Madya Dr. Ab. Latif Bin Ibrahim. 

Untuk makluman hadirin sekalian, Perlantikan JKM Kali ini sama seperti perlantikan JKM sesi lepas, dimana setiap bakal ahli JKM akan melalui beberapa fasa percubaan iaitu, sesi temu duga, sesi bengkel dan sesi Kem Pembentukkan JKM. 

Melalui sesi dan fasa inilah, mereka dinilai oleh setiap mata-mata Ahli Majlis Syura baik dari segi tingkah lakunya, peribadinya, sosialnya, kepimpinannya, komunikasinya dan lain-lain lagi berdasarkan pada garis panduan yang telah ditetapkan oleh Majlis Felo.

Syabas dan tahniah sekali lagi dari saya yang mewakili barisan JKM lelaki sesi 2011 diatas titik peluh saudara/i sekalian dalam  berusaha sehingga mencapai ke tahap ini.

Sesuai dan seiringlah dengan Maksud firman Allah SWT di dalam surah Al-Baqarah Ayat 30 yang bermaksud:

Ingatlah ketika TuhanMu berfirman kepada para malaikat:

“Sesungguhnya aku hendak menjadikan seorang khalifah dimuka bumi.” Mereka bertanya: “Mengapa engkau hendak menjadikan (khalifah) dibumi itu orang yang akan membuat kerosakkan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?” Tuhan berfirman:”Sesungguhnya aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.”

Hadirin dan Hadirat yang dikasihi Allah,

Pergerakan sesebuah organisasi JKM yang akan datang hendaklah tidak beku dan ‘rigid’ dengan pembawakan yang bersifat tradisi.

Hendaklah perlu fleksible dengan suasana persekitaran yang sentiasa berubah baik diperingkat individu, masyarakat, sosiobudaya, sosiopolitik dan bermacam-macam lagi. 

Bersifat minda terbuka, dalam merintis idea-idea yang kreatif dan inovatif dalam mentadbir organisasi mahupun melaksanakan program dan aktiviti. 

Seterusnya, bagi barisan JKM yang baru ini seharusnya mampu untuk memikirkan kaedah dan cara dalam menarik perhatian para penghuni Kolej untuk menyertai mana-mana program yang dianjurkan serta mencapai matlamat agenda program yang telah digariskan.

Nilai komitmen yang jitu perlulah dilahirkan dalam diri anda semua baik JKM mahupun warga Kolej untuk menjayakan program-program yang telah dirancangkan. 

Tidak lupa, seiring dengan melahirkan sifat ikhlas dalam diri tanpa mengharapkan sesuatu dengan memikul tanggungjawab dan amanah serta kepercayaan yang diberikan kepada anda semua perlulah diganding dan dipikul bersama dan ditunjukkan sepanjang anda menjawat jawatan sebagai JKM Kolej 9-10 dan mana-mana AJK program.

Lakukan yang terbaik, harumkan nama Kolej baik diperingkat universiti mahupun peringkat kebangsaan. 

Jangan leka mahupun alpha dalam mengendalikan dan melaksanakan program, hal ehwal kebajikan warga Kolej turut dititikberatkan dan dipandang serius. 

Hal ini kerana, anda, selaku barisan JKM Kolej 9-10 merupakan perwakilan diperingkat Kolej dalam mengenengahkan suara warga Kolej ke peringkat pentadbiran Kolej mahupun universiti.

Apa yang kami, selaku mantan JKM sesi 2011 dambakan kepada warga Kolej, hadirin, hadirat sekalian teruslah untuk menyokong dan membantu pucuk pimpinan JKM yang baru ini, agar berlaku satu bentuk kebersamaan dalam sebuah keluarga yang besar, sehingga menjadikan kita semua bersatu hati. 

Bila kita bersatu hati, semua perkara yang dilakukan menjadi mudah malah tanpa kita sedar, keberkatan dan kerahmatan Allah sentiasa dicurahkan kepada diri kita semua. 

Maka dengan itu, saya berpesan kepada saudara fadthul, dengan memetik kata-kata daripada Khalifah Abu Bakar As- Siddiq, 

“Laksanakanlah tanggungjawab yang diberikan ini. Sesungguhnya jawatan yang diperolehi ini bukan satu kemegahan tetapi satu tanggungjawab yang mesti ditunaikan dengan jujur, amanah dan adil.” 

Manakala kepada barisan Majlis Tertinggi dan para biro JKM yang lain serta, bantu, dan sokonglah ketua anda, kerana tanpa kerjasama dan komitmen dari anda semua, belum tentu sesebuah kapal yang belayar di tengah lautan dapat belayar ke destinasinya dengan selamat. 

Akhirnya, dikesempatan ini, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak baik diperingkat Majlis Felo mahupun warga Kolej yang telah memberikan komitmen yang jitu dalam menjayakan matlamat dan agenda kami selama 1 tahun, yakni 2011 dengan jayanya. 

Selain itu juga, saya mewakili barisan JKM lelaki sesi 2011 menyusun 10 jari memohon ampun dan maaf jika ada dikalangan kami, terutamanya saya, ada yang terkasar bahasa, bersifat diktator, bersifat pilih kasih, bersifat tidak adil dan sebagainya. 

Kami juga seorang manusia, seorang hamba kepada yang Maha Esa, yang sentiasa melakukan kesalahan dan dosa, baik dalam keadaan sedar mahupun tidak sedar, yang menyedari baiknya tingkah laku kami ini, yang melihatnya adalah anda semua dan ketentuan hanyalah milik Allah SWT. 

Tidak dilupakan juga kepada hadirin hadirat sekalian sebagai warga Kolej, sebagai pemerhati dan penyokong, ambillah segala yang baik itu sebagai ikutan dan yang buruk itu sebagai sempadan. 

Mudah-mudahan segala amal dan kebaikan ini mendapat ganjaran pahala disisi Allah Azzawa Jalla. 

Marilah kita hayati maksud firman Allah SWT dalam surah an-Nisa’ ayat 79:

Apa jua kebaikan (nikmat kesenangan) yang engkau dapati maka ia adalah dari Allah; dan apa jua bencana yang menimpamu, maka ia adalah dari (kesalahan) dirimu sendiri. Dan kami telah mengutus engkau (Wahai Muhammad) kepada seluruh umat manusia sebagai seorang Rasul (yang membawa rahmat). Dan cukuplah Allah menjadi saksi (yang membuktikan kebenaran hakikat ini).

Sekian, saya akhiri ucapan saya ini dengan 3 rangkap pantun:

Jika rotan dipanjat benalu,
Sekerat disimpan dalam bakul,
Jika beban sudah ke bahu,
Berat ringan wajib dipikul.

Hendak berlayar ke Pulau Bentong,
Sambil mencuba labuhkan pukat,
Bulat air kerana pembentung,
Bulat manusia kerana muafakat.

Jikalau tuan mengangkat peti,
Tolong masukan segala barang,
Jikalau kita bersatu hati,
Kerja yang susah menjadi senang.

Wabillahitaufiq wal hidayah
Assalamualaikum wbt…

2 comments:

nursyazwani aznan said...

:)

Ahmad Haziq Azlan said...

amboi siap teks lagi

Post a Comment