Subscribe:

Sunday, May 16, 2010

Berapa Nilai Masa Pada Anda?

Masa adalah anugerah Allah kepada semua manusia. Masa bererti peluang buat kita semua. Nilai masa pada orang Melayu lebih dari emas. Orang Arab pula menganggap masa dan manusia seperti dua musuh yang berlawanan; si bijak akan menundukkan masa, yang tidak bijak akan dikalahkan oleh masa. Masa tidak akan kembali. Ia akan terus berjalan samada kita mahu atau tidak. Ia cukup bernilai. Yang telah lepas akan hanya tinggal kenangan. Yang akan datang belum tentu menjadi milik kita Yang kita miliki hanyalah saat ini.

Allah bersumpah dengan masa dalam banyak ayat di dalam al-Quran. ‘Demi masa’. ‘Demi waktu Fajar’. ‘Demi 10 malam’. ‘Demi waktu Dhuha’. ‘Demi malam ketika ia tiba’. ‘Demi siang ketika ia menjelma’.

Lima perkara yang sepatutnya direbut oleh manusia; semuanya berkait dengan masa. Masa hidup sebelum mati. Masa kaya sebelum masa miskin. Masa lapang sebelum masa sibuk. Masa muda sebelum masa tua. Masa sihat sebelum masa sakit.

Begitulah sebenarnya nilai masa pada manusia.

Kita akan makin sibuk dari hari ke hari. Tanggungjawab akan semakin besar. Kerja akan bertambah. Cabaran dalam kehidupan akan meningkat. Dulu kita ada masa untuk berbual panjang; sekarang nak bincang kena mencuri-curi masa. Dulu kita boleh makan-makan dan jalan-jalan; sekarang makan dan jalan di tempat yang kita kena buat kerja sahaja. Tengah-tengah suasana sibuk itu juga kadang-kadang kita jatuh sakit. Tengah-tengah sibuk itu kadang-kadang kita ada masalah-masalah yang kecil. Susahnya nak cari pembantu masa tu. Ada yang tak dapat membantu sebab dia pun tak cukup masa. Tapi tak kurang juga yang tidak boleh membantu sebab dia tak reti guna masa. Dakwa sibuk, masa lapang sebenarnya bersepah-sepah. Tidur sampai berjam-jam sehari. Menung pun panjang. Melayan hobi sendiri bukan main lama. Kerja bagi tak siap-siap.

Hasan al-Banna mewasiatkan agar kita nasihat menasihati satu dengan yang lain dalam masalah masa. Katanya: “Kewajipan lebih banyak dari masa. Bantulah orang lain agar mereka memanfaatkan masa mereka. Jika kamu ada urusan (peribadi) lakukanlah dengan ringkas.”

Sememangnya kita perlu kepada nasihat ini. Kadang-kadang kita tak sedar bahawa kita tak gunakan masa kita secara maksima. Lepas beberapa hari, rupanya banyak kerja tertangguh. Sebab tertangguh, tanpa sebab! Puncanya kerana kita tak hargai masa. Kita rasa ada masa lagi, rupanya dah tak ada masa. Kalaulah masa tu macam kredit talipon kita, tentu kita lokek untuk membazirkannya macam kita kedekut nak bagi orang lain pinjam talipon kita. Tapi oleh kerana masa tak macam tu, mungkin kita tak terasa sangat kehilangannya.

Kita kadang-kadang tak sedar yang kerja kita ni ditanggung oleh orang lain sebab kita tak selesaikannya. Ada orang yang dah terbeban dengan satu bebanan di luar dari batas perikemanusiaan kerana menanggung kerja-kerja orang lain yang tak siap-siap. Kita buat selamba je. Lepas tu boleh nasihatkan lagi kawan kita supaya thabat dan bersabar. Janganlah macam tu. Rahmatlah sikit kat orang lain.

Cuba kita bayangkan kalau semua dari kita jaga masanya dengan baik dan isi dengan tugasan-tugasan yang diberikan …. alangkah indahnya dunia ni. Beban makin berat jadi kita kena bersedia. Cabaran makin besar maka kita kena sempitkan masa untuk urusan peribadi dan berikan masa kepada amal-amal kita.

Berilah masa nilainya yang hakiki.

Sumber : http://satuperkongsian.wordpress.com/2007/08/14/berapa-nilai-masa-pada-anda/

0 comments:

Post a Comment